5 kawasan di Sabah kena PKPD mulai 28 Jun

Lima lagi lokaliti di Sabah dan dua di Pahang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula 28 Jun hingga 11 Julai ini susulan berlaku peningkatan jangkitan Covid-19.

Di Sabah PKPD terbaharu dilaksanakan melibatkan Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, apabila 18 dikesan positif setakat ini.

Turut dikenakan PKPD ialah Kilang Sawit Bell termasuk kawasan termasuk perumahan kilang, di Kinabatangan.

“Sehingga kini, KKM telah melakukan 157 ujian saringan dan 29 daripadanya dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini,” katanya ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP mengekang penularan wabak Covid-19.

Sementara itu Kampung Tuunon, Penampang, turut dikenakan PKPD, selepas lapan daripada 10 penduduk melakukan saringan positif.

Pelaksanaan PKPD terbaharu di Sabah turut membabitkan Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat di mana sembilan individu dikesan positif setakat ini.

Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, turut dikenakan PKPD selepas 12 penduduk dilaporkan positif.

Sementara di Pahang, pelaksanaan PKPD di Tringkap, Cameron Highlands, apabila KKM mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu dengan 70 kes dikesan positif hasil saringan ke atas 592 individu.

PKPD turut dilaksanakan di sekitar kawasan Bandar Jerantut, Pahang di mana 186 penduduk dilaporkan positif setakat ini.

Ismail turut memaklumkan, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di dua lokaliti di Kota Belud, Sabah iaitu Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan sehingga 11 Julai selepas masih berlaku penularan jangkitan di kawasan berkenaan.

Sementara itu PKPD di Kampung Indah, Nabawan, Kampung Manggis, Kuala Penyu, Kampung Baru (SFI), Sipitang, Taman Kinabutan Ria, Simpang Inderasabah di Tawau dan Kampung Sundang Laut, Sandakan, Sabah tamat bermula 11.59 malam esok.

Pelaksanaan PKPD di kawasan Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang membabitkan Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina dan Kampung Baru Kampung Raja juga tamat bermula tengah malam esok.

Ismail turut memaklumkan pihak polis semalam menahan 735 lagi individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu 705 telah dikompaun manakala 30 lagi direman.

“Sementara pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam telah melakukan 1,505 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, 1,488 premis mematuhi SOP manakala 17 lagi dikenakan kompaun,” katanya.