Program Mobiliti Universiti Malaysia Sabah: Komitmen Berterusan Ke Arah ‘Kembali ke Sabah’

KOTA KINABALU: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah telah berjaya menjalankan lebih 18 aktiviti dalam talian untuk 88 pelajar mobiliti antarabangsa dari Indonesia dan China dalam tempoh tiga bulan lalu.

Kesemua 18 aktiviti itu dijalankan di bawah program Taking a Different Path: Tragedy in History, Getting to know your Sabah, Crisscrossing Malaysia: Through Folk Games and Cultures, dan Tour of Foodie.

Aktiviti tersebut tertumpu kepada ceramah kebudayaan, permainan tradisional dan kawasan tumpuan pelancongan.

Ia bagi membolehkan kesemua pelajar berkenaan menimba pengalaman untuk mempelajari budaya dan pengetahuan terutamanya pada ketika negara kini berada pada pasca pandemik dan perjalanan melawat Malaysia telah dibenarkan.

Aktiviti itu terus diadakan dari semasa ke semasa, bagi menyediakan lebih baik pelajar mobiliti dari Indonesia dan China untuk merasai ‘kembali’ ke Sabah selepas pandemik dan tiada lagi sekatan perjalanan pada masa endemik ini.

Program dan aktiviti tersebut dijalankan dengan kerjasama pelajar tempatan, bagi memastikan terdapat pertukaran idea dan konsep dengan pelajar mobiliti antarabangsa, menjadi platform untuk berkongsi idea dan pengalaman antara pelajar antarabangsa dan pelajar tempatan.

Idea ‘Kembali ke Sabah’ dimulakan Penyelaras Mobiliti FPEP, Andy Lee Chen Hiung, untuk memastikan pelajar mobiliti mendapat gambaran tentang tempat-tempat untuk dilawati di Sabah, dan menikmatinya dengan lebih baik apabila mereka kembali melawat secara peribadi , terutamanya selepas pandemik dan perjalanan telah dibenarkan.

Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abdul Karim berkata, fakulti sentiasa komited untuk memastikan semua aktiviti mobiliti dalam talian akan sentiasa bernilai dan bermakna kepada pelajar.

Katanya,  ia bagi memastikan mereka datang melawat Sabah pada masa hadapan terutamanya pada ketika rentas sempadan antarabangsa telah dibenarkan.

Beliau turut menyuarakan harapan dan kesediaan untuk menerima lebih ramai pelajar mobiliti antarabangsa.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Hj. Kasim Hj. Md Mansur, bekas Dekan FPEP UMS, mengalu-alukan idea menggalakkan program pertukaran pelajar antarabanga dan kerjasama berterusan dalam banyak aspek.

Penyelaras program, Datu Razali Datu Eranza berharap dapat menerima kepulangan fizikal pelajar mobiliti antarabangsa, untuk mereka merasai tarikan terbaik di Sabah.

“Beberapa program popular yang paling dinikmati oleh pelajar mobiliti antarabangsa dari Kemboja, Thailand, Laos, Vietnam, China, Indonesia dan Korea Selatan semasa era sebelum pandemik Covid-19, termasuklah menghadiri majlis perkahwinan, lawatan ke Sabandar Cowboy Town dan Taman Buaya Tuaran, kembara ke Labuan, serta lawatan ke Kundasang-Ranau,” katanya.