Pusat Khidmat Parlimen Tuaran Bela Nasib anak-anak Kampung Layan yang tidak bersekolah

Pusat Khidmat Parlimen Tuaran sedang mendapatkan senarai anak-anak Kampung Layan Tuaran yang masih belum mendaftar belajar di Sekolah Kebangsaan Mengkabung Tuaran.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, lawatannya ke kampung itu baru-baru ini membawa kepada penemuan bahawa ramai anak-anak di sana tidak bersekolah.

“Ada juga yang telah mendaftar tetapi tidak hadir ataupun sudah berhenti bersekolah walaupun belum habis Tahun 6.

“Jarak bangunan sekolah dengan tempat tinggal bukanlah jauh sangat, namun atas faktor kemiskinan dan kurangnya kesedaran tentang peri pentingnya pendidikan menyebabkan anak-anak di Kg Layan, Mengkabong tidak bersekolah,” katanya.

Lawatan Madius ke Kampung Layang Mengkabong

Madius berkata demikian dalam muat hantaran facebook rasminya pada Sabtu.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu memaklumkan, usaha mendapatkan maklumat ini turut dibantu penduduk Kampung Layan yang diketuai oleh Hajah Napsah.

“Dengan maklumat yang dikemaskini itu nanti, pihak saya akan berbincang dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Mengkabong dan juga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran untuk melihat bagaimana kita boleh membantu anak-anak ini sebaik-baik mungkin.

“Pada masa yang sama kita juga berusaha mendapat penglibatan sektor korporat untuk membantu anak-anak yang malang ini,” ujar Madius