Maisun pakar bermain kodian tarik, harmonika, seruling

RANAU: Minat mendalam Maisun Rongkos, 74 bermain kodian tarik, hamonika mulut dan  seruling atau lebih dikenali sebagai suling memastikan alat bunyian tradisi kaum Dusun Ranau tidak hilang ditelan zaman.

Kemahiran yang dipelajari sejak berumur 9 tahun itu juga turut menjadi daya tarikan serta menghiburkan pengunjung di kawasan tagal ikan air tawar Sungai Nalapak di sini.

Maison yang juga anak kedua daripada tiga beradik dan berasal dari Kampung Nalapak itu berkata minatnya memainkan alat bunyian itu hasil dorongan ibu bapa dan rakan-rakannya.

“Saya sering mendapat undangan untuk bermain alat muzik itu di majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, Pesta Kaamatan, majlis hari jadi dan banyak lagi.

“Saya juga gemar datang ke majis keramaian untuk menghibur orang ramai tanpa mendapatkan bayaran atau saguhati,” katanya menurut laporan Utusan Borneo hari ini.

Beliau juga bersedia membimbing generasi muda untuk membunyikan alat muziknya sekiranya ada yang berminat.

“Tidaklah susah sangat membunyikan alat-alat ini asalkan benar-benar mempunyai minat mendalam,” katanya.

Beliau juga bercadang untuk membuat persembahan di Pentas Budaya Pekan Ranau dalam masa terdekat dan semasa majlis sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah jika ada jemputan daripada pihak pengajur.