SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas sebanyak 65 tan isirung sawit (kernel) yang tidak memiliki permit dalam satu serbuan di sebuah gudang di Batu 16, di sini, 3 Jun lalu.
Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 9.30 malam itu, tiga lelaki berusia 36, 41 dan 47 tahun yang berada di lokasi turut ditahan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, dalam operasi berkenaan, PPM Sandakan membuat serbuan di sebuah gudang yang tidak berdaftar.
“Ketika serbuan dilakukan, kerja-kerja menurunkan kernel sedang dilakukan di dalam gudang berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kernel yang disimpan tanpa permit di gudang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, rampasan membabitkan 65 tan kernel, 110 tan tempurung sawit kosong, dua lori 10 tan, tiga jentera berat dan satu unit timbangan tanpa jenama beserta kelengkapan.
“Pasukan operasi turut menahan dua lelaki warga tempatan dan seorang warga asing. Semua barang kes dirampas dan anggaran nilai rampasan sebanyak RM2,543,500.
“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut mengikut Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ