Kegiatan jual air, serbuk ketum di Ranau tumpas

RANAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menumpaskan kegiatan menjual air ketum selepas memberkas enam lelaki dalam empat serbuan berasingan di tiga buah kampung di daerah ini, pada 3 Jun lalu.

Serbuan jam 2 petang hingga 5 petang oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ranau turut merampas 26 botol plastik berisi air ketum dan 15 peket berisi serbuk ketum.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah pondok di Kampung Kimolohing, di sini.

“Hasil serbuan itu menahan tiga lelaki dan merampas 23 botol plastik berisi air ketum. Manakala serbuan kedua membabitkan tangkapan seorang lelaki bersama satu botol disyaki berisi air ketum di hadapan sebuah rumah di Kampung Lohan Ulu.

“Tidak lama selepas itu, serbuan ketiga dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lohan Skim 1, dan menahan seorang lelaki bersama dua botol plastik berisi air ketum,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, serbuan keempat dilakukan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lohan Skim 1, dan menahan seorang lelaki bersama 15 peket plastik disyaki berisi serbuk ketum dan dua botol plastik berisi air ketum.

“Semua tangkapan membabitkan warga tempatan yang berusia 20 hingga 35 tahun kemudian dibawa ke IPD Ranau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Mursalin mengingatkan kepada setiap individu yang terbabit memproses, menjual, membeli dan menggunakan ketum untuk segera berhenti daripada menjalankan aktiviti tidak bermoral ini.

“Polis akan terus mempergiatkan operasi seperti ini dari semasa ke semasa demi kesejahteraan daerah ini,” tegasnya. – Info X