8 ditahan termasuk Datuk, polis rampas dadah RM10 juta

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran sekitar Lembah Klang dengan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM10.8 juta dalam lima serbuan berasingan di Kuala Lumpur, Selangor dan Seremban, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Yahaya Othman, berkata serbuan itu membawa kepada penahanan tujuh lelaki termasuk seorang bergelar Datuk dan seorang wanita berusia 27 hingga 61 tahun.

Beliau berkata, dalam serbuan bermula 11 pagi hingga 2 petang itu, polis merampas 300kg syabu dan 2kg pil Ecstasy ditemui dalam dua kenderaan diletakkan di sebuah pasar raya.

“Polis juga menyita tujuh kenderaan dianggarkan bernilai RM456,000, barangan kemas (RM17,566) dan wang tunai RM8,400 dengan keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM11.2 juta.

“Modus operandi sindiket itu adalah mendapatkan bekalan dadah dari utara tanah air untuk pasaran Lembah Klang dan negara jiran dengan menggunakan kenderaan diubah suai untuk membawa dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur.

Yahaya berkata, ujian saringan awal terhadap semua suspek mendapati enam daripada mereka positif methamphetamine dan semakan kesalahan lampau turut mendapati enam daripadanya mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

“Polis Kuala Lumpur khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus berusaha mengesan saki-baki anggota sindiket berkenaan untuk diheret ke muka pengadilan,” katanya.