Ewon (tengah), Adrian (tiga dari kiri), Alvin (dua dari kanan), Patrick (dua dari kiri), Angelen (kiri), Maria (tiga dari kanan) dan Arron (kanan) bergambar bersama selepas kunjungan itu.
KOTA KINABALU (19 Sept): Kira-kira 800 penduduk Kampung Buayan dan Tiku di kawasan Ulu Papar bakal menikmati bekalan elektrik 24 jam apabila Projek Mikro Hydro siap kelak.
Projek itu yang dijangka mula dilaksanakan November tahun ini akan dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pacos Trust dan Tobpinai Ningkokoton Koburuan Kampung atau Friends of Village Development (Tonibung) dengan kerjasama Shell.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick menyokong dan mengalu-alukan usaha murni Pacos-Tonibung dan Shell untuk membantu menyediakan bekalan elektrik di kawasan luar bandar dengan menggunakan teknologi mikro hydro.
“Saya amat mengalu-alukan kerjasama Pacos-Tonibung dan Shell untuk menyediakan kemudahan bekalan elektrik di kawasan luar bandar sebagai pelengkap usaha kerajaan memberikan kemudahan asas kepada masyarakat luar bandar.
“Bagi kawasan Kadamaian, hampir semua kampung mempunyai bekalan elektrik, namun kita mencadangkan agar mana-mana kampung atau kawasan yang belum ada bekalan elektrik supaya dibina sebuah Mini Hydro di kawasan itu,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada pihak Pacos, Tonibung dan Shell, di Bilik Mesyuarat Bangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB), di sini, kelmarin.
Rombongan itu disertai Penasihat Teknikal Projek Mikro Hydro Senator Adrian Lasimbang, Penasihat Prestasi Sosial Shell Alvin Chia, Pengurus Projek (Tonibung) Patrick Ginduh, Penyelaras Program Sosio Ekonomi Pacos Angelen Daransun, Penyelaras Kivatu Nature Farm Maria Lasimbang dan Setiausaha Sulit Menteri KPLB Arron A.Guramon.
Sementara itu Adrian berkata, kunjungan hormat itu antaranya bertujuan menerangkan kepada Ewon mengenai program terbaru Pacos-Tonibung ‘Access To Energy’ di Kampung Buayan dan Tiku yang akan dilaksanakan bersama Shell.
Selain itu, katanya, ia juga bertujuan menjemput Ewon melancarkan program itu dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Pacos-Tonibung dan Shell yang dijangka diadakan pada Oktober ini.
“Dalam projek ini, pihak Shell akan menyediakan peruntukan sejumlah RM300,000 untuk membangunkan sebuah Mikro Hidro di kampung berkenaan bagi memberikan akses bekalan elektrik 24 jam kepada penduduk kampung seterusnya meningkatkan sosio ekonomi penduduk kawasan itu.
“Apabila siap kelak, kita mensasarkan ia akan memberikan manfaat kepada kira-kira 800 penduduk kampung kawasan itu,” katanya.
Adrian berkata, sebelum ini Pacos-Tonibung telah melaksanakan pelbagai projek komuniti luar bandar termasuk Projek Mikro Hydro Solar Hybrid dan Program Pembangunan Sosio Ekonomi di Kampung Sabibingkol Pensiangan.
“Projek ini juga ditaja oleh Shell dan dilaksanakan oleh Tonibung bersama masyarakat setempat. Ia dijangka siap Disember tahun ini.
“Selain menyediakan bekalan elektrik, Pacos dan Tonibung juga bekerjsama untuk meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar dengan memberikan latihan dan program peningkatan keupayaan masyarakat membangunkan produk kampung termasuk produk eko pelancongan,” katanya.
Ewon ketika menerima kunjungan daripada Pacos-Tonibung dan Shell.
More Stories
UPKO Kota Marudu Fokus Persiapan PRN17, Mesyuarat Tritahunan Ditangguh
588 mangsa masih berlindung di 3 PPS di Beaufort
Beberapa daerah di Sabah dilanda hujan lebat petang ini