Shafie (kanan) ketika bercakap kepada media
KOTA KINABALU: (18 Sept) Kerajaan Pusat melalui Kementerian Sumber Manusia mengambil kira keperluan rakyat Sabah bagi meneruskan obligasi serta hala tuju dasar berkaitan buruh.
Menterinya, M. Kulasegaran berkata terdapat lapan akta selaras dengan pemeteraian Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifuk (CPTPP) pada 8 Mac lalu, akan dikemas kini dan dua daripadanya memerlukan perbincangan khusus untuk manfaat rakyat Sabah.
“Kunjungan hormat kali pertama sejak kerajaan baharu ditubuhkan berkisar mengenai pindaan terhadap lapan akta selaras dengan pemeteraian CPTPP di mana pihak Kementerian Sumber Manusia perlu meneruskan obligasi buruh.
“Setakat ini, Akta Agensi Pekerjaan Swasta (APS) 1981 telah dipinda pada tahun 2017 dan telah dikuatkuasakan pada 1 Februari lalu.
“Dua daripada lapan akta yang perlu dikemaskini adalah Akta Standard-Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.
“Kedua-dua akta ini memerlukan kerjasama terperinci daripada Kerajaan Negeri terutama dari segi perundangan bagi manfaat pekerja ataupun rakyat Sabah,” ujarnya.
Kulasegaran memberitahu media dalam sidang media selepas membuat kunjungan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di Teluk Likas, pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan isu gaji minimum serta masalah pembayaran gaji lewat kebanyakkan berlaku di sektor perkhidmatan pembersihan dan keselamatan ekoran kelewatan majikan menerima pembayaran daripada petender.
“Perintah Gaji Minimum yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini menyaksikan kadar gaji minimum di seluruh Malaysia diselaraskan iaitu RM1,050.
“Bagi Sabah dan Sarawak, pekerja menerima kenaikan sebanyak RM130 daripada RM920 asalnya, manakala Semenanjung pula mendapat kenaikan RM50 daripada RM1.000 dan kadar ini telah mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2018,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar serta pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan.
Sementara itu, Shafie menyambut baik peluang yang diberi oleh Kerajaan Pusat dalam mendepani isu buruh serta mengimbangi pembangunan sektor pekerjaan di antara Semenanjung dan Sabah. – PENERANGAN

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ