KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Gempur Bersasar di sebuah tapak pembinaan di Penampang, hari ini.
Operasi yang dilaksanakan secara serentak seluruh negara itu bermula kira-kira 10 pagi membabitkan 75 anggota dan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasa, JIM Sabah.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi ini dijalankan berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama seminggu.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasukan operasi bergerak ke lokasi tapak pembinaan di Penampang dan seramai 165 individu diperiksa dalam operasi ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 94 PATI ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan Imigresen mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, PATI yang ditahan terdiri daripada 60 lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan 11 lagi kanak-kanak perempuan.
“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut kerana dipercayai melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas yang dikeluarkan.
“Mereka turut disiasat Seksyen 6(1)(c) tiada dokumen pengenalan diri dan Seksyen 15(1)(c) mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti PATI atau mana-mana premis yang menggaji warga asing secara tidak sah untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
“Setakat ini, seramai 11,000 individu telah diperiksa dan tangkapan membabitkan seramai 1,956 orang dan pemindahan PATI ke negara asal seramai 4,851 orang.
“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindah warah asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
“JIM akan terus memainkan peranan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara dengan memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan bekerja dan menetap di negara ini,” katanya. – Info X
More Stories
Jenazah Tun Ahmadshah selamat dikebumikan
Barang Kosmetik Seludup Dirampas
Wanita Dakwa Ditukar Agama Kepada Islam Tanpa Izin, Sindiket Libatkan Ahli Keluarga Dalam Politik?