Sabah masih perlukan subsidi telur, laksanakan segera pendekatan bersasar – Warisan

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mempersoalkan keputusan kerajaan Persekutuan menamatkan sepenuhnya subsidi telur mulai Ogos depan.

Bermula 1 Mei lalu, subsidi dikurangkan kepada lima sen sebiji, berbanding 10 sen sebiji sebelum ini, manakala kawalan harga telur ditamatkan.

Ketua Penerangan Warisan Kota Kinabalu, Samuel Wong, berkata keputusan itu menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak sensitif dan kurang memahami cabaran ekonomi yang unik di Sabah.

Samuel Wong.

“Kos hidup di Sabah adalah antara yang tertinggi di Malaysia dan harga telur di sini hampir sekali ganda lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

“Jika sepapan 30 biji telur di Semenanjung hanya berharga RM8 hingga RM9, saiz yang sama boleh mencecah harga RM15 hingga RM16 di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mendakwa penamatan subsidi telur tanpa mengambil kira situasi rantaian bekalan yang berbeza di Sabah akan menyebabkan harga makanan naik.

Katanya, ia bukan saja menjejaskan pengguna, malah turut memberi kesan kepada perniagaan kecil, vendor makanan dan keluarga berpendapatan rendah untuk memenuhi keperluan keluarga.

Samuel turut mempersoalkan kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang menjadikan situasi pada Hari Raya lalu sebagai asas untuk melaksanakan tindakan itu.

Jelasnya, ia adalah satu perbandingan yang tidak bertanggungjawab.

“Jangan ambil situasi pada Hari Raya lalu di Semenanjung dan jadikannya sebagai penanda aras, di Semenanjung populasinya sangat tinggi dan jumlah bekalan juga adalah tinggi.

“Sabah tidak menikmati kelebihan yang sama dengan Semenanjung. Sebenarnya, kapasiti pengeluaran yang rendah menyebabkan kita mudah terdedah kepada kenaikan harga secara mendadak,” katanya.

Samuel menggesa kerajaan Persekutuan supaya segera mengeluarkan Sabah daripada penamatan subsidi, sebaliknya melaksanakan pendekatan bersasar yang sesuai dengan realiti di Sabah.

“Jika Sabah mempunyai pengeluaran telur yang mencukupi dan harga hampir pada paras di Semenanjung, mungkin penghapusan subsidi tidak terlalu membebankan.

“Tapi, ia bukan situasi kita, risiko di Sabah sekali lagi dibiarkan di bawah pendekatan yang seragam ini,” katanya.

Beliau berkata, tanpa pendekatan bersasar, pemotongan subsidi hanya menambahkan lagi jurang ketidaksamarataan yang wujud di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

“Rakyat Sabah berhak untuk mendapat layanan yang adil dan saksama, bukan polisi yang mengabaikan keadaan ekonomi kita,” katanya. – Info X