DUA BUAH KAPAL NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN NEGARA DITAHAN DI PERAIRAN SANDAKAN

Lima orang lelaki warganegara Vietnam yang ditahan PPM Sandakan kerana menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara kelmarin.
Oleh Kahar Ali

SANDAKAN : Dua buah kapal nelayan Vietnam yang menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara berjaya ditahan oleh botronda Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan semasa menjalankan tugas rondaan ‘Op Pensura Khas’ di kawasan perairan Pulau Lankayan kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin Sabah, ACP Hj. Mohamad Pajeri bin Ali berkata, pada Ogos 20 jam lebih kurang 9.45 pagi,   dua buah botronda PPM dengan kekuatan 3 pegawai dan 8 anggota telah berjaya menahan dan memeriksa  dua buah kapal nelayan Vietnam dengan kru kapal seramai 10 orang lelaki warganegara Vietnam berumur diantara 20 tahun hingga 40 tahun’.

Menurut beliau, apabila diminta untuk berhenti, kapal nelayan Vietnam tersebut tidak memberi kerjasama malahan  telah cuba melanggar sisi sebelah kanan botronda Polis Marin sehingga boleh mendatangkan ancaman nyawa dan juga aset kerajaan. Aksi kejar mengejar telah berlangsung lebih kurang setengah jam sehingga akhirnya juragan kapal memberhentikan kapal mereka dan menyerah diri.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati juragan kapal tersebut telah menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 1 juta setiap orang dalam hal empunya atau nakhoda, dan RM 100,000 dalam hal tiap -tiap anggota kru. Selain itu boleh disabitkan dibawah Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan perikanan yang tidak dilesenkan, kata Mohamad Pajeri.

Juragan dan kru kapal juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia dan boleh didakwa dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, katanya lagi.

Kapal nelayan bersama peralatan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1,620,000 ditahan dan diiringi masuk ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan. Kesemua tangkapan telah diserahkan untuk tindakan lanjut, kata Mohamad Pajeri.

Beliau juga menegaskan bahawa PPM Sabah sentiasa mengatur gerak aset pasukan bersama pegawai dan anggotanya menjalankan rondaan dan operasi di perairan bagi memastikan perairan negara selamat dan tidak sewenang-wenangnya diceroboh oleh anasir-anasir luar yang mengaut hasil perikanan negara secara menyalahi undang-undang.

PPM Sabah akan terus memerangi pencerobohan nelayan asing di perairan Sabah khususnya. Beliau juga berharap masyarakat nelayan setempat juga dapat berkerjasama menyalurkan sebarang maklumat untuk membanteras pencerobohan nelayan asing yang merugikan negara.