PPM TAWAU TAHAN KAPAL KAYU INDONESIA DIBAWAH KESALAHAN ENAKMEN HUTAN

Seorang anggota PPM (dua kanan) sedang memeriksa muatan kayu di dalam kapal berkenaan di perairan laut berhampiran Sungai Pukul.

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU : Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau telah menahan sebuah kapal kayu Indonesia dibawah kesalahan Enakmen Hutan di kawasan perairan laut berhampiran Sungai Pukul semasa operasi ‘Op Gelora’  kelmarin.

Komander PPM Sabah, ACP Hj. Mohamad Pajeri Bin Ali berkata, kapal kayu yang juragani seorang lelaki warga Indonesia berumur 39 tahun bersama 3 orang anak kapal yang baru tiba dari Indonesia telah ditahan untuk diperiksa oleh sebuah botronda PPM pada kira-kira jam 9.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat muatan kayu bergergaji jenis Armara sebanyak lebih kurang 150 batang pelbagai saiz di dalam kapal berkenaan dan pemeriksaan dokumentasi awal juragan gagal mengemukakan sebarang dokumen sijil pendaftaran pengimport dan lesen import untuk membawa barang tersebut,” kata beliau.

Juragan telah diterangkan akan kesalahan yang dilakukan dalam bahasa yang mudah difahami dan juragan mengakuinya. Seterusnya juragan dan kapal di arahkan ke Pangkalan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut, tambah Mohamad Pajeri.

Menurut Mohamad Pajeri, juragan disyaki melakukan kesalahan dibawah Enakmen Hutan Negeri Sabah 2015. Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah kapal dan 150 batang pelbagai saiz berjumlah RM260,000.