Sabah, Singapura tingkat kerjasama pelancongan, pendidikan

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Sabah dan Singapura berhasrat untuk meningkatkan hubungan dua hala terutama dalam sektor pelancongan dan hartanah.

Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean yang dalam lawatan kerja ke Sabah, berkata beliau gembira berada di negeri ini untuk membincangkan kerjasama lebih lanjut dengan kerajaan Sabah demi kepentingan bersama.

“Saya gembira bertemu dengan rakan saya selama dua dekad (Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) untuk membincangkan hubungan ekonomi dan pelaburan, terutama dalam bidang pelancongan.

“Ketika taklimat (dengan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew, malam tadi), antara produk yang cukup menarik untuk pelancong ialah di kawasan pantai timur iaitu Sandakan, Tawau dan Semporna,” katanya pada sidang media bersama Mohd Shafie di sini, hari ini.

Chee Hean berkata, dari segi pendidikan teknikal dan vokasional, Mohd Shafie menyatakan minat terutama berkaitan kemahiran untuk golongan muda dan peluang mereka di masa depan.

“Saya ingin menjemput Ketua Menteri mengadakan lawatan rasmi (ke Singapura) untuk membincangkan lebih mendalam bagi mengukuhkan lagi hubungan Sabah dan Singapura,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, perbincangan dua hala bukan sahaja memberi tumpuan kepada pelancongan, malah pembangunan hartanah untuk terus menarik pelaburan asing.

Beliau berkata, syarikat penerbangan adalah antara perkara dibincangkan yang mana penerbangan terus antara Singapura dan Sabah akan memberi pengalaman kepada pelancong dari negara jiran itu untuk aktiviti mendaki gunung, meneroka pulau peranginan, selain mengenali budaya dan makanan serta produk pelancongan lain di negeri ini.

“Kita akan menghantar pasukan untuk meneroka bagaimana untuk meningkatkan semua bidang ini antara Sabah dan Singapura,” katanya. – Bharian.com.my