KATA sokong ‘World Clean Up Day’, Perangi Sisa Pepejal Global

Sukarelawan bergambar kenangan bersama Walter.

KADAMAIAN: Sempena Hari Kebersihan Sedunia pada 15 September setiap tahun, Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) telah menganjurkan satu aktiviti kebersihan sebagai menyokong program ini.

World Clean Up Day merupakan satu program tindakan sosial global yang bertujuan untuk memerangi masalah sisa pepejal global, termasuklah masalah serpihan marin.

Pengusaha Capernaum Garden, Micheal Liman bangga apabila pusat riadah miliknya terpilih sebagai lokasi program dan merasa berbaloi dengan usaha keras untuk memajukan pusat tersebut dan memastikan kebersihan berada pada tahap yang baik.

“Perniagaan ini bermula sejak 2016 serta diurus dan diusahakan sepenuhnya oleh keluarga saya di atas tapak tanah milik persendirian.

“Ia bermula sebagai tempat istirehat bagi keluarga dan rakan terdekat sahaja, tetapi memandangkan maklum balas dan sambutan serta dorongan rakan-rakan, Capernaum Garden telah dibuka kepada awam sebagai pusat riadah berasaskan air,”katanya.

Michael yang menghargai kebersihan dan alam sekitar turut gembira kerana berpeluang memperkenal dan mendemonstrasikan bahan yang berpontensi membantu untuk membasmi kekotoran akibat sampah serta membudayakan amalan hidup sihat seperti yang di pelajari di PACOS.

“Dalam program ini kami turut mengambil peluang untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti demonstrasi pelupusan sisa pepejal tanpa menjejaskan alam sekitar.

“Saya juga menyampaikan taklimat tentang ‘Emas’ iaitu bahan yang boleh digunakan untuk menghilangkn bau sesuatu kawasan seperti tandas, sungai dan pelbagai lagi.

“Kaedah pelupusan adalah menggunakan tong, dengan darjah kepanasan tiga kali air mendidih, indikator bagi asap yang tidak menjejaskan alam semulajadi adalah asap putih dan tidak berbau.

“Jika asap yang keluar adalah asap hitam dan berbau maka ia disifatkan sebagai tidak mesra alam sekitar dan boleh membahayakan lapisan ozon,”jelasnya.

Aktiviti World Clean Up Day yang dijalankan ini sejajar dengan program yang bakal dilaksanakan persatuan tidak lama lagi, di mana KATA sedang memperhalusi program ‘Kadamaian Indah Dan Bersih’ yang merupakan visi bagi mencapai objektif pelancongan luar bandar bertaraf dunia menjelang 2025.

Menurut pengerusinya, Walter Kandayon visi tersebut juga selaras dengan slogan pelancongan Kadamaian, ‘The Paradise Side Of Mount Kinabalu, Home To Nature’.

“Kempen ini adalah program yang besar juga dijangka akan mengambil masa dan sudah tentu memerlukan jumlah perbelanjaan yang tinggi.

“Kempen ini melibatkan beberapa aktiviti seperti penanaman pokok, pertandingan keceriaan kampung, seminar, pendidikan awal kanak-kanak, penguatkuasan larangan membuang bahan buangan di jalan raya, pemasangan papan tanda, pengurusan bahan buangan di kampung-kampung, program menghargai alam semula jadi dan lain-lain aktiviti yang berkaitan,”jelasnya.

Katanya, berdasarkan perancangan awal, kempen ini bermula sebaik dilancar pada Oktober 2018 nanti dan dijangka berterusan sehingga mencapai objektifnya, dan KATA mengunjurkan kempen ini berjaya pada tahun 2025.

Bagi memastikan kempen berjalan lancar, ia mesti mendapat pembiayaan dana yang mencukupi dan KATA meletakkan kepercayaan warga terhadap reputasinya sebagai penerima Anugerah Khas dan rekod pencapaian dalam membangunkan pelancongan komuniti sejak 2015.

“KATA percaya, masyarakat akan terus menyokong perjuangan dan halatuju persatuan membangunkan Kadamaian khususnya dalam pelancongan.

“Berdasarkan perkara ini, KATA akan melaksanakan beberapa langkah mendapatkan dana tabungan yang mana kami menjangkakan warga prihatin akan menyokong langkah Kempen Kadamaiam Bersih dan Indah,”ujarnya.

Menurut Walter, di Kadamaian sahaja, tidak kurang 5000 warga yang berpotensi sebagai penyumbang amal, walau mereka berada di hujung dunia pastinya tanah tumpah darah tetap berada dalam hati.

“Atas keyakinan tersebut, jika setiap individu menyumbang RM100, maka kita boleh mensasarkan RM500 ribu dana dikumpul dari warga Kadamaian prihatin.

“Sumbangan amal ini boleh dibuat oleh pihak berkuasa, perseorangan, berkumpulan, syarikat, NGO serta badan-badan berkaitan secara ikhlas dan sudah tentu KATA juga menjangka sokongan daripada pihak berkuasa.

“KATA juga yakin para pelancong menyokong rancangan ini dan sanggup beramal dengan membeli pass berharga RM5.

“Kita menjangka Kadamaian akan dikunjungi seramai 100,000 pada tahun 2019, jika 50 peratus menyokong dan membeli pass yang dimaksudkan, maka kita mengunjurkan dana sebanyak RM250,000 boleh dikumpul dibahagian ini,”jelas walter lagi.

Tambahnya, KATA meletakkan keyakinan penuh terhadap kepercayaan awam terhadap integriti dan kejujuran persatuan berjuang untuk masa depan Kadamaian yang dicintai.

Walter juga amat yakin mendapat sokongan ramai dan berharap usaha murni ini menemui kejayaan, demi tanah tercinta dan masa depan generasi yang cemerlang.

Selain di Capernaum Garden, aktiviti yang sama juga turut dilaksanakan di eko pelancongan yang lain di Kadamaian, antaranya adalah di Eko Pelancongan Talungan, Melangkap Tiong dan Bukit Tirig.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi KATA, Modin Gimbun; Auditor KATA merangkap Pengurus Koperasi Kadamaian Kota Belud Berhad, Daniel Semudin; Biro Keselamatan KATA, Martin Lugu; Ahli Majlis Tertinggi KATA merangkap Pengerusi Pelancongan Sistem Tagal Melangkap Tiong, Damius Talindap; Biro Publisiti dan Multimedia KaTa, Laimin Omar dan Ketua Biro Latihan dan Pendidikan KATA, Boniface @ doni Jiran./Unit MA, – PENERANGAN