“PENCEROBOH” REBAN AYAM DITANGKAP APM

Ular Sawa Batik yang ditangkap oleh APM Lahad Datu di Kampung Sapagaya pagi tadi

Oleh Faizal Rahman

LAHAD DATU :  “Penceroboh” yang memasuki ke dalam reban ayam di sebuah rumah di Kampung Sapagaya, Jalan Silam akhirnya berjaya ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini.

Tiga anggota APM diketuai Sarjan (PA) Ayob Anub telah bergegas ke lokasi sebaik sahaja Bilik Operasi APM Daerah menerima panggilan khidmat khas pada pukul 10.49 pagi.

Menurut Pegawai APM Daerah Leftenan (PA) Asby Mohd Anwar, pasukan APM berjaya menangkap “penceroboh” yang telah membaham seekor ayam di reban ayam berkenaan.

“Penceroboh” tersebut yang merupakan seekor Ular Sawa Batik seberat 20 kilogram dan panjang 7.5 meter berjaya ditangkap oleh anggota APM menggunakan peralatan khas penjerut ular, kata Asby.

Operasi berakhir pada pukul 11.56 pagi dan reptilia tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Daerah Lahad Datu untuk tindakan lanjut.