ESSCOM TAHAN 20 PATI DALAM OPS GASAK DI KUNAK

Individu-individu yang ditahan semasa “Ops Gasak” di Kunak kelmarin

Oleh Faizal Rahman

KUNAK : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam “Ops Gasak” yang dijalankan di sekitar Kampung Kunak 3 di sini, pada khamis.

Komander ESSCOM DCP Datuk Hazani Ghazali berkata daripada jumlah itu, 19 PATI merupakan rakyat Filipina dan selebihnya rakyat Indonesia.      

“Kesemua 20 PATI yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan 5 wanita yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 48 tahun,” katanya.

Menurut Hazani, Operasi yang telah dijalankan selama 4 jam yang bermula pada pukul 5.00 pagi dan berakhir pada jam 10.00 pagi itu menyasarkan kawasan perkampungan atas air dan pinggiran pantai yang disyaki menjadi tempat persembunyian dan penempatan PATI.

“Operasi ini antara lain bertujuan untuk membanteras PATI serta mengekang jenayah rentas sempadan termasuk bagi mengesan dan menjejaki suspek yang terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan di kawasan perairan Kunak”.

“Sejumlah 158 orang telah dibawa ke Pusat Dokumentasi untuk tapisan keselamatan, kemudian 138 orang telah dibebaskan manakala 20 orang yang tidak memiliki dokumen pengenalan sah dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berkenaan juga, pasukan keselamatan telah menahan 2 lelaki Bajau Laut kerana memiliki peralatan disyaki bom ikan.

“Kita telah merampas 2 unit detonator dan 3 botol berisi bahan disyaki  baja daripada kedua-dua lelaki berkenaan”, katanya.

“Kedua-dua saspek akan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1958”, katanya.

Operasi diselaraskan ESSCOM itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Air Negeri Sabah, SESB, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Daerah dan Jabatan Pendaftaran Negara.