DUA DITAHAN MARITIM MALAYSIA KERANA MEMILIKI DOKUMEN PENGENALAN DIRI PALSU

Bot nelayan yang ditahan oleh Maritim Malaysia di perairan Sandakan kelmarin

SANDAKAN : Dua nelayan disyaki memiliki dokumen pengenalan diri palsu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan di atas sebuah bot nelayan tempatan kelmarin.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot nelayan itu bergerak dari laut menuju ke Jeti Pasar Sandakan untuk menurunkan hasil tangkapan ikan campur dianggarkan seberat 400 kilogram sebelum di tahan pada jam 7.45 pagi. 

“Seramai 19 awak-awak termasuk tekong berumur diantara 17 hingga 54 tahun diperiksa. Sebelas warga tempatan, lapan warga Filipina, enam daripadanya berdaftar manakala dua lagi pemegang kad IMM13 disyaki palsu.

Dua saspek yang disyaki memiliki dokumen pengenalan diri palsu.

 “Bot dan anak kapal dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.” katanya lagi. 

Orang ramai dinasihatkan agar segera menyalurkan sebarang aduan salah laku jenayah atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999, tambah Khairulanuar.