Oleh Ahmad Tamrin
TAWAU : Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 di sini telah merampas 820 karton rokok seludup pelbagai jenis bernilai lebih RM 32,800, dekat sini, pada hari Isnin
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) DCP Dato’ Hazani Ghazali berkata rokok berkenaan disembunyikan dalam sebuah kereta perdana putih yang ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh daripada pusat pemeriksaan daratan (RCP) kalabakan kira-kira jam 3.00 pagi.
Hazani berkata ketika kejadian, sepasukan 9 anggota PGA yang sedang membuat sekatan jalan raya di RCP Kalabakan telah didatangi oleh sebuah kenderaan berat yang memaklumkan mengenai sebuah kenderaan mencurigakan ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh daripada pusat pemeriksaan RCP Kalabakan berhampiran dengan bulatan Kalabakan.
Beliau berkata bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota PGA bergegas ke tempat di mana kenderaan berkenaan ditinggalkan.
“Pemeriksaaan awal mendapati kenderaan berkenaan ditinggalkan dalam keadaan pintu pemandu terbuka dan enjin masih hidup. Usaha untuk menjejaki pemandu kenderaan berkenaan dengan melakukan pemeriksaan persekitaran di kawasan berhampiran, namun gagal,” kata Hazani.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan, telah menemui 820 karton rokok seludup pelbagai jenis yang belum dibayar cukai kastam disembunyikan dalam kenderaan berkenaan. Pemeriksaan terhadap status kenderaan melalui KOMPOL Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kenderaan tersebut tidak mempunyai sebarang rekod hilang”, katanya lagi.
Hazani berkata antara jenama rokok seludup yang ditemui ialah 300 karton rokok jenama premiro, 240 karton rokok jenama Fit Mild Menthol, 200 karton rokok jenama Djarum Black dan 80 karton rokok jenama Surya Menthol yang dianggarkan bernilai lebih RM 32,800.
“Turut dirampas kenderaan jenis Proton Perdana putih yang dianggarkan bernilai RM 12,000 yang digunakan oleh saspek dalam jenayah penyeludupan berkenaan”, katanya.
Beliau berkata kesemua barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Sek.135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK