Mohamad Pajeri (kanan) bersama pegawai beliau sedang memeriksa tong gas LPG yang dirampas PPM Sandakan pada hari Isnin
Oleh Kahar Ali
SANDAKAN: Sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM)Sandakan telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 46 tahun warga tempatan beserta 31 tong gas LPG dipercayai untuk diselewengkan dalam satu operasi pada hari Isnin.
“Risikan dan pemantauan telah dijalankan Unit Risik Marin (URM) Sandakan bagi mengenalpasti kegiatan penjualan gas LPG tanpa permit di sekitar kawasan pesisir pantai Sandakan pada jam 11.30 pagi,” kata Komander PPM Sabah ACP Hj. Mohamad Pajeri Ali.
Hasil pemantauan telah mendapati seorang lelaki tempatan kelihatan sedang memunggah di kawasan Parit Batu 3 itu dalam keadaan mencurigakan, kata beliau. “Pemeriksaan lanjut oleh sepasukan pegawai dan anggota URM Sandakan di kawasan itu telah menemukan 31 tong gas LPG yang disyaki hendak diselewengkan ” tambahnya lagi.
Semasa pemeriksaan dijalankan, lelaki tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membolehkan sebarang transaksi penjualan, penyimpanan dan pemindahan tong Gas LPG dijalankan, kata Mohamad Pajeri.
Lelaki beserta barang kes dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut. Keseluruhan nilai rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM7,750, katanya.
Kes diserahkan kepada KPDNHEP dan disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM 1 juta bagi pesalah perseorangan dan penjara tiga tahun, kata Mohamad Pajeri.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK