6 WARGA ASING GAGAL KEMUKA DOKUMEN SAH DITAHAN ZON MARITIM TAWAU

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU : Seorang juragan dan lima penumpang dipercayai warga Indonesia ditahan oleh Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 pada hari Ahad.

Timbalan Pengarah (Operasi), Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri bin Hussin berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan telah menahan sebuah bot penumpang berhampiran Sungai Melayu, Pulau Sebatik sekitar jam 9.30 pagi.

Pemeriksaan lanjut mendapati juragan bot berumur 26 tahun itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala lima penumpang yang lain terdiri daripada empat lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa masing-masing berumur dalam lingkungan 26 hingga 49 tahun gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, kata Mohd Yusri. 

Bot dan kesemua penumpang diiring masuk ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut  di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, tambah beliau.

Menurut Mohd Yusri lagi, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan malahan akan terus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat, aman dan terkawal.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.