Sebahagian dari peminta sedekah yang ditahan oleh Polis Lahad Datu dalam operasi kelmarin
Oleh Faizal Rahman
LAHAD DATU: Seramai 21 orang Palauh ditahan oleh polis di lima lokasi berasingan dalam Operasi Bersepadu kerana meminta sedekah di jalan awam di daerah ini kelmarin.
Ketua Polis Daerah ACP Nasri Mansor berkata kegiatan komuniti Palauh ini mengundang kebimbangan orang ramai berikutan berlaku satu kemalangan baru-baru ini yang diviralkan di sosial media.
Siasatan polis menunjukkan peminta sedekah yang berlari dalam kesesakan jalan raya sehingga terlanggar kereta yang sedang bergerak. Pihak polis juga mendapati kanak-kanak Palauh dipercayai menggunakan hasil duit dari kegiatan meminta sedekah untuk menghisap gam, kata beliau. .
Kesemua peminta sedekah yang ditahan dalam operasi itu berusia antara lingkungan tiga hingga 60 tahun dan terdiri dari 10 wanita, 8 kanak-kanak perempuan dan 3 kanak-kanak lelaki termasuk seorang bayi, kata Nasri.
“Pihak polis juga merampas wang tunai sebanyak RM168.70 dipercayai hasil keseluruhan dari kegiatan meminta sedekah mereka yang ditahan tersebut,” tambah beliau.
Operasi dua jam yang bermula dari jam 2.00 petang itu melibatkan 16 anggota polis dan menumpukan kawasan lampu isyarat Perdana, Lapangan Terbang, Wisma Ramai-Ramai, Bandar Wilayah dan kedai makanan di bandar, katanya lagi.
Nasri berkata kesemua Palauh dibawa ke Balai Polis Lahad Datu untuk siasatan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Beliau berharap kegiatan meminta sedekah ini tidak akan berlaku lagi terutama di kawasan-kawasan jalan awam berdekatan lampu isyarat selepas operasi berkenaan.
Sementara itu , seorang penggangur warga asing berumur 40 tahun ditangkap polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah kerana memiliki syabu seberat 30.80 gram dalam satu operasi berasingan di Kampung Desa Bajau kelmarin.

Menurut Nasri, saspek ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan semasa polis menjalankan Ops Sarang pada jam 11.15 pagi.
Pemeriksaan keatas beg silang yang dipakai saspek menemui tiga paket berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu bernilai RM4,620.
Siasatan mendapati walau saspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau, saspek dipercayai telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak tahun 2005, kata Nasri.
Nasri berkata saspek ditahan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK