Saspek yang ditangkap Maritim Malaysia kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mengebom ikan di perairan Semporna
Oleh Faizal Rahman
SEMPORNA : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya menyekat aktiviti mengebom ikan selepas bot peronda Maritim Malaysia berjaya menahan sebuah bot pam bersama alatan mengebom ikan beserta ikan di perairan Semporna pada awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot peronda yang sedang menjalankan tugas rutin telah menahan bot pam berkenaan berhampiran perairan Pulau Maiga, Semporna sekitar jam 7.00 pagi.
“Anggota-anggota penguatkuasa cuba menahan bot pam itu selepas mendapati ianya bergerak dalam keadaan mencurigakan namun begitu bot pam bertindak melarikan diri apabila ternampak bot anggota penguatkuasa,” kata Norrimi.
Anggota-anggota penguatkuasa telah mengejar dan menahan bot pam di sekitar perairan Pulau Maiga. Hasil pemeriksaan mendapati 2 orang awak-awak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berumur lebih kurang 30an dan juga terdapat alatan mengebom ikan disyaki bom ikan, tambah beliau.
Berdasarkan rekod kes ini merupakan kes tangkapan yang ketiga oleh Maritim Semporna pada tahun 2019. Maritim Semporna akan terus komited untuk membanteras aktiviti mengebom ikan di perairan Semporna, kata Norrimi.
Katanya lagi, bot pam bersama hasil rampasan termasuk bot, bom ikan dan enjin pam yang dianggarkan bernilai RM 5,000 telah ditunda masuk ke Jeti Kem Azumi Semporna untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Menurut beliau lagi, Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Semporna.
Orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK