PPM TAWAU RAMPAS ROKOK SELUDUP BERNILAI RM 82,500

Rokok seludup yang dirampas oleh PPM Tawau kelmarin

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU : Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya merampas rokok seludup bernilai RM 82,500 di perairan berhampiran Kampung Icebox dekat sini kelmarin.

Menurut Komander PPM Sabah ACP Haji Mohamad Pajeri Ali,  dalam satu operasi ‘Op Gelora Khas’ serta bertindak atas maklumat  risikan, sepasukan anggota PPM Tawau digerakkan ke kawasan yang dikenalpasti  pada jam 2.00 pagi bagi melancarkan operasi tersebut.

Operasi tersebut  tertumpu kepada aktiviti penyeludupan rokok yang cuba diseludup masuk ke Malaysia melalui perairan Tawau, kata Mohamad Pajeri.

Kira-kira jam 4.00 pagi, pasukan operasi telah membuat pemerhatian aktiviti tersebut dan apabila bot yang dikenalpasti cuba dihampiri, saspek bersama bot telah melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak polis, kata beliau.

Semasa pasukan serbuan mengejar bot berkenaan, kelihatan saspek telah menjatuhkan barang atau muatan ke laut. Walaubagaimanapun, anggota PPM tidak dapat mengejar bot saspek kerana telah memasuki ke perairan Indonesia, tambah beliau.

“Kesemua barang-barang yang telah dijatuhkan atau dibuang oleh saspek dari bot berkenaan telah diambil untuk diperiksa.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, barang yang telah dijatuhkan oleh saspek adalah rokok pelbagai jenama sebanyak 825 karton atau bersamaan 8,250 batang rokok,” katanya lagi.

Kesemua barang rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Anggaran nilai barang rampasan berjumlah RM82,500 termasuk cukai. Kes akan disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(e), Akta Kastam 1967, kata Mohamad Pajeri.