POLIS TANGKAP WARGA ASING DISYAKI ROGOL TIGA BERADIK

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Kasim Muda

Oleh Faizal Rahman

TELUPID: Seorang lelaki warga Indonesia  ditahan polis pada Okt 10 selepas dipercayai merogol 3 beradik perempuan berusia 7 tahun hingga 12 tahun sejak penghujung tahun lepas.

Saspek yang berumur 24 tahun ditahan di kawasan sebuah ladang kelapa sawit di Telupid  selepas remaja perempuan mengadu kepada makciknya dan membuat laporan polis di Balai Polis Telupid pada jam 10.24 malam Okt 8. 

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata siasatan awal mendapati saspek merupakan pekerja kebun keluarga mangsa lebih kurang sejak setahun yang lalu dan di berikan tempat tinggal  di rumah mangsa dan keluarganya.

“Mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan saspek yang kerap mengganggunya telah mengadu kepada makciknya yang tinggal bersebelahan dengan rumah mangsa.

Selepas itu makcik mangsa telah bertanyakan kepada 2 orang adik perempuan mangsa dan mendapati mereka juga turut menerima gangguan seksual yang sama,” kata Kasim.

“Laporan polis dibuat mangsa kerana tidak tahan dengan perbuatan yang dilakukan oleh saspek yang telah keterlaluan,” katanya lagi hari ini.

Kasim berkata siasatan juga mendapati saspek mengambil kesempatan keatas mangsa kerana tinggal dirumah yang sama.

Menurutnya, saspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.