KES PEMBUNUHAN GAJAH : PENGAWAL KESELAMATAN LADANG DITAHAN BANTU SIASATAN

Gambar Laporan BS sebelum ini

Oleh Faizal Rahman

BELURAN: Sepasukan anggota polis dan kakitangan Jabatan Hidupan Liar telah menahan seorang pengawal keselamatan untuk membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seekor Gajah Pygmy.

Ketua Polis Daerah Supt Kasim Muda berkata pengawal keselamatan berumur 20 tahun yang merupakan seorang lelaki tempatan, ditangkap di Ladang IOI Labuk pada 11.28 malam pada Okt 20.

“Setakat ini tiada pengakuan terlibat dengan kes ini,” tambah Kasim.
Pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) menahan terhadap lelaki tersebut untuk mendapatkan maklumat pergerakan keluar masuk ke dalam kawasan ladang tersebut. Buku daftar masuk dan keluar juga turut diambil untuk pemeriksaan rekod, katanya lagi.

Pegawai penyiasat JHL sedang mengambil keterangan individu yang menjumpai bangkai gajah tersebut, dan juga pengurus ladang, kata Kasim. 
Menurut Kasim, siasatan dijalankan dibawah seksyen 25(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memburu haiwan dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Dalam kejadian terbaru yang membabitkan pembunuhan gajah, bangkai seekor Gajah Pygmy telah ditemui dalam kawasan blok Ladang Bimbingan 2 pada hari Sabtu.

Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati gajah tersebut telah mati lebih kurang 5 hari semasa pemeriksaan dijalankan dan juga mendapati gading gajah tersebut telah tiada. 

Gajah Pygmy jantan tersebut dianggarkan berusia lingkungan 25 tahun mempunyai berat  2 tan setengah dan 8 kaki 5 inci tinggi. Semasa bedah siasat telah mengesan beberapa luka lama dipercayai kesan tembakan pada bahagian punggung gajah tersebut namun tidak menembusi bahagian kulit.  Punca kematian masih belum dikenal pasti.

>SEEKOR LAGI GAJAH PYGMY DITEMUI MATI DENGAN KESAN TEMBAKAN