SEEKOR LAGI GAJAH PYGMY DITEMUI MATI DENGAN KESAN TEMBAKAN

Oleh Faizal Rahman

BELURAN: Bau busuk membawa pekerja ladang kepada penemuan bangkai seekor Gajah Pygmy dalam kawasan blok Ladang Bimbingan 2, dekat sini pada Sabtu pagi. 

Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati gajah tersebut telah mati lebih kurang 5 hari semasa pemeriksaan dijalankan. Semasa pemeriksaan dijalankan mendapati gading gajah tersebut telah tiada, kata Ketua Polis Daerah Supt Kasim Muda kelmarin.

Gajah Pygmy jantan tersebut dianggarkan berusia lingkungan 25 tahun mempunyai berat  2 tan setengah dan 8 kaki 5 inci tinggi, tambah Kasim.

Semasa post mortem telah mengesan beberapa luka lama dipercayai kesan tembakan pada bahagian punggung gajah tersebut namun tidak menembusi bahagian kulit. Punca kematian masih belum dikenal pasti, katanya lagi.

Kasim berkata setakat ini saspek belum di kenalpasti dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian ini tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Beluran untuk membantu siasatan. 

“Siasatan dijalankan dibawah seksyen 25(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memburu haiwan dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran Jabatan Hidupan Liar Sabah,” kata Kasim.

Menurut perkembangan terkini mengenai kes ini, dua pengawal keselamatan telah ditahan untuk membantu siasatan.

> KES PEMBUNUHAN GAJAH : PENGAWAL KESELAMATAN LADANG DITAHAN BANTU SIASATAN