ANAK BUAYA TEMBAGA AKHIRNYA BERJAYA DITANGKAP

APM berjaya tangkap anak buaya

Oleh Aissac Bjsim

KOTA MARUDU: Kelibat seekor anak buaya yang disangka biawak akhirnya berjaya ditangkap oleh sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di sebuah kolam ikan di kampung  Salimandut pada Jumaat lalu .

Pegawai Pertahanan Awam daerah Kota Marudu Lt.(PA) Nazura Marlinda Sabran  (gambar) berkata  pihaknya telah menerima  maklumat melalui panggilan  MERS 999 skuad Charlie  kira-kira jam 6:45 pagi dan tiba di lokasi  pada jam 7:30 pagi bersama empat orang anggota APM.

Katanya, mengikut  pengadu, seorang penternak ikan kolam,  Hilman Dino Lantubon, 20 tahun   pada awal paginya beliau hairan terdapat seekor haiwan bergerak pantas dan agresif memakan anak-anak ikan di dalam kolam  yang pada awalnya disangka seekor biawak. Bimbang dengan  keselamatan keluarganya pengadu telah   menghubungi MERS 999 untuk mendapatkan bantuan.

Anak buaya tembaga seberat 6 kg yang berjaya ditangkap

Katanya, tindakan pantas  anggotanya  ke lokasi yang membawa bersama  perangkap  dawai yang  diumpan ikan  akhirnya menarik perhatian binatang reptilia  memasuki  perangkap  sejam  selepas dipasang di dalam kolam  berkenaan,  anak buaya yang ukuran 1.27 meter dan seberat  6 kilogram akhirnya  dapat ditangkap.

Menurut  Hilman  dia agak terkejut dengan kehadiran binatang reptilia di kolamnya yang  memakan anak-anak ikan, sejak sekian lama tidak ada buaya  yang pernah dilihat  di kampungnya. Menurut beliau kemungkinan  anak buaya  tersebut tersesat atau pun terlepas dari kandang peliharaan  orang kampung.

Sementara  itu anak buaya  tembaga berkenaan  di serahkan kepada pihak Perhilitan  Jabatan Hidupan Liar  Kota Marudu untuk tindakan seterusnya.