POLIS LAHAD DATU RAMPAS ROKOK SELUDUP DAN TEMBAKAU SALAK

Nasri (dua kiri) serta pegawainya menunjukkan rokok seludup dan tembakau salak semasa sidang media hari ini

Oleh Faizal Rahman

LAHAD DATU : Pihak polis di sini telah menangkap tiga lelaki dan merampas 1,995 karton rokok seludup pelbagai jenama dan juga 880 bungkus tembakau salak, di simpang Kampung Sapagaya, dua hari lepas. 

Ketua Polis Daerah ACP Nasri Mansor dalam sidang media hari ini berkata, semasa tugas ronda jenayah pasukan polis telah menerima maklumat dan melakukan sekatan jalanraya di kawasan situ hari Selasa.

Pada kira-kira jam 10.30 malam pasukan polis berjaya menahan dua buah kenderaan yang mencurigakan, tambah Nasri.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan sarat dengan muatan rokok tanpa cukai dan tembakau salak yang dibungkus dalam plastik hitam, katanya lagi.

Jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua buah kereta dianggarkan RM 160,000, kata Nasri.

“Tiga saspek termasuk seorang lelaki tempatan berumur 32 hingga 37 ditahan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” kata Nasri.

Menurut Nasri , siasatan awal mendapati rokok dan tembakau yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan saspek sedang dalam perjalanan dari Tawau ke sini.