LIMA SASPEK DICEKUP POLIS MEMILIKI 100.76 GRAM SYABU

Syabu serta wang tunai dan barang lain yang dirampas Polis Lahad Datu pada Okt 17

Oleh Faizal Rahman

LAHAD DATU :  Polis di daerah ini telah menangkap tiga wanita serta dua lelaki dan merampas syabu seberat 100.76 gram dalam serbuan terhadap sebuah rumah di sebuah taman perumahan pada Okt 17.

Turut dirampas semasa serbuan yang dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah adalah wang tunai dianggarkan berjumlah RM 50,000,  barang kemas,  jam tangan dan dua buah kereta.

Ketua Polis Daerah ACP Nasri Mansor memberitahu bahawa nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM217,300.

Pasukan polis tersebut telah menjalankan Ops Tapis dan menyerbu rumah tersebut pada lebih kurang jam 4.20 petang berdasarkan maklumat yang diterima, kata Nasri.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan polis berkenaan berjaya menemukan ketulan hablur jernih, wang tunai, barang kemas dan jam tangan dalam bilik , kata Nasri.

Saspek yang ditahan dalam rumah terdiri dari seorang lelaki dan wanita  warga tempatan, manakala tiga yang lain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri berumur 25 hingga 37 tahun, kata Nasri.

“Kelima-lima saspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata Nasri.

Ujian saringan air kencing mendapati kesemua saspek negatif dadah dan juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau, kata Nasri.