JURAGAN DUA BOT JONGKONG DITANGKAP MARITIM MALAYSIA TAWAU

Dua buah jongkong yang ditahan Maritim Malaysia zon Maritim Tawau semalam

Oleh Ahmad Tamrin 

TAWAU : Maritim Malaysia zon Maritim Tawau  telah menahan dua buah bot jongkong kerana disyaki telah melakukan kesalahan yang sama di sekitar perairan Tanjung Saima dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, bot ronda Zon Maritim Tawau telah menahan bot jongkong pertama  sekitar jam 2.35 pagi tadi berhampiran perairan tenggara Tanjung Saima.

Pemeriksaan awal mendapati, terdapat seorang juragan lelaki dewasa warga Indonesia berumur 57 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri pasport dan mengemukakan lesen bot yang telah tamat tempoh, kata Siva Kumar.

Juragan termasuk bot jongkong berisi muatan ketam bakau sebanyak 37 buah kotak berat lebih kurang 800 Kilogram dan 3 tong jerrycan berisi minyak petrol ditunda masuk ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

Bot jongkong terbabit dipercayai menuju masuk dari Pulau Sebatik ke Tawau, kata beliau.

Pada masa yang sama, pihak Maritim Malaysia Tawau turut menahan bot jongkong kedua  sedang menuju ke Tawau dari Pulau Sebatik sekitar jam 2.45 pagi.

Ketika ditahan, terdapat seorang juragan lelaki dewasa warga Indonesia berumur 32 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri serta lesen bot yang sah, kata Siva Kumar.

Pemeriksan lanjut mendapati, bot jongkong tersebut turut membawa 3 tong muatan tong gas cecair petroleum (LPG). Juragan tersebut dan bot jongkong terbabit ditahan seterusnya diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk pemeriksaan lanjut, katanya.

Kedua-dua juragan bot jongkong tersebut ditangkap serta bot jongkong mereka ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Jumlah keseluruhan barang-barang yang dirampas dalam kedua-dua tangkapan dianggarkan bernilai hampir RM40,000, tambah beliau.Menurut beliau lagi,

Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan malahan akan terus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat, aman dan terkawal.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.