TAWAU: Polis Tawau membuka 18 kertas siasatan membabitkan kerugian lebih RM1.9 juta membabitkan sindiket penipuan Macau Scam bagi tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata bagi tempoh sama, polis turut menerima 83 aduan berkaitan sindiket itu tetapi tidak disiasat ekoran tidak membabitkan kerugian selain pengadu tidak mahu siasatan polis.
Beliau mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon dengan kejadian terbaru pada Jumaat lepas apabila seorang wartawan di daerah ini nyaris diperdaya sindiket yang menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia (TM) dan polis.
Katanya penyamar turut meminta data peribadi termasuk bank, selain meminta mangsa tidak mendedahkan perkara itu kepada sesiapa kerana sulit dan mangsa kemudian membuat laporan polis ekoran khuatir data peribadi disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Mereka (sindiket) ini cuba memperdayakan mangsa dengan pelbagai versi cerita membabitkan pelbagai kesalahan ,” katanya kepada pemberita selepas program Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, hari ini.
Pada program itu, 46 anggota polis menerima surat penghargaan atas komitmen kerja yang baik.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK