SABAH HARUS DAPAT PENGAGIHAN DAN PERUNTUKAN SAMA RATA UNTUK TINGKATKAN DAN NAIK TARAF KEMUDAHAN SUKAN

SANDAKAN: Sabah sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia harus mendapat pengagihan dan peruntukan yang sama rata dari Kementerian Belia dan Sukan untuk mempertingkatkan dan menaiktaraf kemudahan sukan di seluruh Sabah, terutamanya di kawasan Sandakan.

Peruntukan yang akan diterima oleh Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2020 untuk pembangunan gelanggang sukan ialah RM175.62 juta.

“Saya berharap Sabah akan menerima peruntukan yang sewajarnya dan mencukupi berdasarkan keperluan dan keadaan Sabah,” kata Ahli Parlimen Sandakan,  Vivian Wong.

Vivian membuat kenyataan demikian ketika menghadiri perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat.

Vivian berkata, dengan hasrat Sabah untuk membida penganjuran Sukan Malaysia 2020, menerusi Kementerian Belia dan Sukan, ia juga boleh memberi peluang bagi menaiktaraf dan mewujudkan fasiliti sukan Sabah secara keseluruhannya bagi memastikan fasiliti sukan Sabah adalah sejajar dengan piawaian antarabangsa dan berusaha untuk melahirkan lebih ramai atlet-atlet yang unggul di Sabah.

Beliau berkata, kali terakhir Sabah menganjurkan Sukan Malaysia ialah pada 2002.

Selepas menunggu 20 tahun, Sabah telah bersedia untuk menganjur Sukan Malaysia 2020.

Vivian menekankan bahawa kemudahan sukan stadium di Sandakan dan Kota Kinabalu juga perlu ditingkatkan sehingga memenuhi piawaian negara. 

“Negeri Sabah belum lagi mempunyai Velodrome, dimana ianya memerlukan anggaran RM50 juta untuk dibina,” jelasnya.

Bagi Sandakan pula, Vivian merasakan Sandakan turut memerlukan Indoor Arena bagi penganjuran acara-acara bertaraf antarabangsa seperti bola keranjang, bola tampar, badminton dan lain-lain. 

Indoor Arena ini dianggarkan memerlukan RM33 juta untuk dibina.

Vivian berkata, difahamkan kebanyakkan stadium sukan di Sabah menghadapi masalah kekurangan kewangan untuk penyelenggaraan dan pengurusan manakala antaranya Stadium Kompleks Sukan Sandakan memerlukan sebanyak RM12 juta untuk menjalankan pengurusan dan penyelenggaraan yang berkesan.

Vivian juga mendedahkan bahawa Stadium Kompleks Sukan Sandakan kini sedang menghadapi masalah seperti sistem kumbahan yang perlu diperbaiki, kebocoran bumbung di dewan serbaguna, paip air pecah, sistem mekanikal kolam renang, pembaikan konkrit retak dan sebagainya. 

“Semua ini memerlukan banyak pembiayaan untuk memperbaiki dan meningkatkan kemudahan yang diperlukan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Vivian juga berharap Kementerian Belia dan Sukan boleh memberi perhatian kepada beberapa projek mempertingkatkan stadium sukan yang dijangka akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 tetapi kini menghadapi masalah kelewatan malah belum bermula.

Antaranya menaiktaraf Kompleks Sukan Tenom yang dianggarkan bernilai RM8 juta, Projek Pembinaan Kolam Renang Tawau yang memerlukan re-tender dengan anggaran RM5 juta dan Projek Pembinaan Stadium Ragbi Sabah yang dianggarkan RM8.27 juta.