WARISAN LAWAN BN DI KIMANIS

BEAUFORT: Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Kimanis menyaksikan hanya Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding selepas selesai penamaan calon, di sini, hari ini.

Tiada calon lain termasuk calon bebas yang menyerahkan borang pencalonan pagi tadi dan Ketua bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang serta Ketua Umno bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kimanis, Jupri@Jupri Itok sebagai calon yang akan bertanding.

Karim, 67, sekali lagi akan cuba untuk merampas kerusi itu selepas hanya tewas tipis dengan majoriti 156 undi kepada bekas menteri luar Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Beliau juga pernah menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan selama lima penggal dari tahun 1990 hingga 2013 selain pernah menjawat jawatan kanan dalam Kabinet negeri Sabah sebagai pembantu menteri.

Sementara itu, BN mempertaruhkan Alamin yang juga bekas Adun Bongawan sebagai calon bagi PRK yang dijadualkan berlangsung pada 18 Januari depan.

Alamin, yang juga Ketua Umno bahagian Kimanis memenangi kerusi DUN Bongawan pada pilihan raya umum (PRU) 2013 tetapi gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU berikutnya.

Beliau juga merupakan seorang peguam yang bertugas di Kota Kinabalu dan dia sebelum ini dilantik sebagai Ketua Umno bahagian Kimanis selepas Anifah keluar parti.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah bagi kerusi itu.

Keputusan itu dibuat selepas Karim memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya berkenaan.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Calon lain dari Parti Harapan Rakyat Sabah meraih 1,300 undi.

Kimanis merupakan kerusi separa bandar dengan majoriti 63.16 peratus adalah Bumiputera Islam manakala 30.67 peratus Bumiputera bukan Islam.