BEAUFORT: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Barisan Nasional (BN) sudah tidak lagi relevan dan tidak harus lagi berpijak di bumi Sabah.
“Cukuplah, ‘enough is enough’ BN bertapak di bumi Sabah ini, mereka sudah berapa tahun memerintah dan saya juga bekas BN serta bekas naib presiden (UMNO).
“Warisan adalah parti yang berasal, bertapak dan berakar umbi di Sabah dan saya yakin akan mencapai kejayaan namun selain berdoa kepada Allah SWT, kita juga perlu merayu kepada sokongan rakyat Malaysia di Kimanis ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, di sini, hari ini.
Sementara itu, Shafie berkata kerjasama di kalangan semua parti termasuk daripada Pakatan Harapan (PH) dan UPKO bakal membantu memperkuatkan lagi jentera PRK Kimanis Warisan.
“Saya melihat semua parti termasuk Bersatu (PPBM), PKR, DAP, Upko, Amanah, mereka sama-sama mengangkat nama serta bendera Warisan dan inilah bukti perpaduan yang sangat baik.
“Kita pernah melakukannya di Sandakan (memenangi PRK), walaupun yang bertanding menggunakan lambang roket (DAP) tetapi orang Warisan semua undi roket.
Terdahulu, Shafie turut menyatakan rasa syukurnya kerana proses penamaan calon pada pagi tadi berjalan lancar tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Syukur alhamdulillah, proses penamaan calon pada pagi ini berjalan lancar, tanpa gangguan dan tanpa kejadian tidak diingini.
“Ini adalah bukti proses demokrasi yang ada di negara kita ini dan patut menjadi contoh kepada dunia luar,” katanya.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius