Oleh Wartawan BS
LAHAD DATU: Polis menahan seramai 12 individu termasuk tujuh warga asing selepas disyaki terbabit dalam kegiatan migran haram dalam satu operasi di tepi jalan, Simpang Tamoi, di sini, semalam.
Operasi kira-kira jam 9 malam yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, turut merampas dua laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menahan sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan terhadap Toyota Hilux terdapat lapan individu termasuk pemandu dan enam penumpang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Seterusnya pemeriksaan ke atas lori menemukan empat lelaki termasuk pemandu dan seorang daripada turut gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.
“Semua tangkapan dan dua kenderaan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nasri berkata, pemeriksaan dilakukan semula ke atas Toyota Hilux sebaik tiba di perkarangan IPD Lahad Datu dan menemui satu objek yang dibungkus menggunakan getah tayar mengandungi dua laras senapang jenis bakakuk dalam keadaan terlerai.
“Empat lelaki dan seorang wanita adalah warga tempatan berusia 30 hingga 62 tahun manakala tujuh termasuk empat wanita berusia empat hingga 38 tahun adalah warga Indonesia.
“Hasil siasatan mendapati semua mereka dalam perjalanan dari Ranau menuju ke Tungku untuk berpindah tempat kerja sebagai buruh ladang,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen dan Seksyan 8 Akta Senjata 1960.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK