JPJ SIASAT VIDEO PEGAWAI PUKUL PENUNGGANG MOTOSIKAL

Oleh Willie Jude

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyiasat berhubung satu video tular di media sosial yang menyaksikan penunggang motosikal dipukul pegawai jabatan itu, pagi tadi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat JPJ Malaysia, hari ini, pihak jabatan itu telah mengambil maklum mengenai perkara itu dan siasatan dalam sedang dijalankan di peringkat ibu pejabat.

Kenyataan itu juga berkata, pihak pengurusan tertinggi JPJ memandang serius isu-isu yang berkaitan dengan integriti dan tidak berkompromi untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana warga JPJ yang didapati melakukan kesalahan.

Tindakan tatatertib termasuk ditamatkan perkhidmatan akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai serta anggota yang didapati bersalah.

Hari ini, satu video berdurasi 45 saat tular menerusi WhatsApp dengan memaparkan seorang penunggang motosikal berada di kawasan rumput di tepi jalan raya.

Video itu turut menunjukkan dua individu turun dari kenderaan JPJ yang melintang di tengah jalan raya berdekatan penunggang motosikal.

Dua individu itu kemudian menuju ke arah penunggang motosikal dan seorang daripada mereka dilihat memukul penunggang motosikal terbabit hingga menyebabkannya jatuh terduduk.

Difahamkan, kejadian terbabit berlaku di Jalan Sandakan-Lahad Datu, pada jam 10.30 pagi.