3 TEKONG DARAT, 7 WARGA ASING CUBA SELUDUP MASUK DITAHAN

Oleh Wartawan BS

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tiga lelaki termasuk seorang tempatan yang dipercayai menjadi ‘tekong darat’ untuk membawa warga asing.

Suspek berusia antara 26 hingga 37 tahun ditahan dalam serbuan di kawasan Sungai Padas, dekat sini, kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota PPM menahan dua kenderaan jenis PERODUA Kenari yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata pemeriksaan kemudian mendapati kenderaan itu membawa tujuh penumpang dan hasil siasatan, semua penumpang mengaku datang dari Filipina dengan membayar wang berjumlah RM50 setiap seorang kepada tekong darat

“Tekong terbabit serta semua penumpang lelaki dan wanita berumur lingkungan 13 hingga 44 tahun itu ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

“Turut dirampas adalah dua buah kenderaan serta beberapa barang dan pakaian peribadi mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tangkapan dan rampasan dibuat mengikut  Seksyen 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau kedua-duanya.