PRK KIMANIS : 22 LAPORAN POLIS SETAKAT INI

Oleh Wartawan BS

KOTA KINABALU: Sebanyak 22 laporan polis berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis diterima pihak polis sepanjang tempoh 12 hari berkempen sehingga semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, daripada jumlah itu sembilan laporan diterima di Balai Polis Bongawan, Papar manakala 13 di Balai Polis Membakut, Beaufort.

Katanya, 201 permit untuk mengadakan ceramah sudah dipohon membabitkan 95 di Beaufort manakala 106 di Papar.

“Setakat ini tiada insiden yang tidak diingin berlaku namun polis terus meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.

“Jika sebelum ini seramai 792 pegawai dan anggota ditugaskan ketika proses penamaan calon tetapi persediaan untuk pengundian akan ditingkatkan membabitkan seramai 859 keanggotaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Omar berkata, penambahan keanggotaan ini untuk membuat rondaan dan mencegah sebarang perbuatan yang cuba menimbulkan kekacauan hingga mengganggu gugat keselamatan orang ramai.

“Saya lihat banyak isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan provokasi ketika berkempen.

“Keadaan itu menyebabkan perlunya penambahan bilangan keanggotaan untuk mengelak kejadian tidak diingin berlaku.

“Oleh itu, saya menyeru pihak-pihak yang berkempen supaya tidak menimbulkan isu-isu yang boleh mengundang perasaan kebencian,” katanya.