Oleh Wartawan BS
KOTA KINABALU: Satu sindiket perjudian dalam talian tumpas selepas sebuah bangunan bekas kolej disyaki dijadikan sebagai pusat operasi ‘Calling Centre’ diserbu polis, di Luyang, di sini, kelmarin.
Serbuan jam 11.30 malam itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, hasil serbuan itu menahan seramai 13 individu termasuk seorang wanita warga China yang berada di dalam bangunan berkenaan.
“Tiga lelaki warga China ditahan ketika sedang duduk di meja menghadap komputer riba dipercayai membuat kerja-kerja perjudian dalam talian.
“Pemeriksaan selanjutnya di tingkat satu bangunan itu turut menahan lagi seramai 10 orang termasuk seorang wanita warga China,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Omar berkata, hasil pemeriksaan merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian.
“Antara yang dirampas iaitu 20 telefon bimbit jenama MI, 18 Ipone, tujuh komputer riba, modem dan peralatan lain.
“Siasatan mendapati semua warga China berusia 26 hingga 53 tahun dipercayai baru sebulan berada di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan termasuk mengesan dalang utama dalam kegiatan sindiket perjudian ini.
“Semua suspek memiliki dokumen perjalanan kemudian dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK