LELAKI DITEMUI LEMAS, RAKAN MASIH HILANG

Oleh Wartawan BS

TENOM: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemui lemas di Sungai Padas Kampung Tenom Lama, di sini, semalam.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan karibnya yang turut dilaporkan hilang masih belum ditemui sehingga kini.

Mangsa Mohd Ashraf Idham Hamril, 20, ditemui oleh penjaga gate SESB jam 1.40 petang dengan jarak empat kilometer dari lokasi terakhir mangsa hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mohd Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.20 petang semalam membabitkan mangsa lemas di sungai berkenaan.

Katanya, sebuah kenderaan Utiliti bersama dua bot dengan kekuatan tiga anggota bergegas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi SAR terpaksa ditangguhkan atas faktor cuaca serta keadaan arus yang deras. Operasi SAR kemudian disambung semula hari ini sepanjang laluan sungai berkenaan.

“Mangsa pertama ditemui dengan jarak empat kilometer dari lokasi terakhir mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bersama agensi penyelamat terdiri daripada polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Operasi SAR seorang rakan mangsa Mohd Fadli Abdul, 20, diteruskan sebelum ditangguh kira-kira jam 6 petang tadi.

“Operasi pencarian mangsa itu akan disambung esok,” katanya.