LIMA DICULIK DI TAMBISAN

Oleh Wartawan BS

SANDAKAN: Lima diculik, manakala tiga lagi nelayan ditemui selamat insiden penculikan terbaharu di perairan Tambisan, Tungku, di Lahad Datu.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, pihaknya menggerakkan aset untuk mengesan mangsa sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1 tengah hari kelmarin.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada Rabu, tetapi hanya dilaporkan kelmarin dengan kelima-lima mangsa dipercayai dibawa lari ke perairan selatan Filipina.

“Kita gerakkan aset laut dan udara sebaik terima laporan kapal hilang dan temui kapal terbabit dengan tiga krew dan lima lagi diculik.

“Semua mangsa adalah warga Indonesia dan mereka dipercayai dibawa enam lelaki bersenjata menggunakan sebuah bot,” katanya di sini, hari ini.

Kapal nelayan itu dipercayai berdaftar di Sandakan dengan kapal ditemui di perairan Tangusu Bay, iaitu lokasi berhampiran kejadian penculikan sebelum ini.