MOJIGOH INGIN BEREHAT DULU

Oleh Nio James

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Bahagian UPKO Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh berkata, beliau ingin berehat dan tidak mempunyai rancangan untuk menyertai mana-mana parti politik.

“Saya mahu berehat dulu,” katanya tanpa mengulas lanjut, ketika dihubungi Berita Sabah hari ini.

Mojigoh bersama penyokongnya terdiri beberapa ahli jawatankuasa UPKO bahagian Putatan mengumumkan keluar daripada parti itu dengan serta merta semalam.

Perkara itu diumumkan Mojigoh pada sidang media semasa mengadakan rumah terbuka Tahun Baru Cina dikediamannya di Kampung Kotiduvan Duvason, Putatan.

Bagaimapun kemungkinan besar beliau akan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) berikutan kehadiran pemimpin tertinggi parti itu di rumah terbuka Tahun Baru Cina Mojigoh, termasuk presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Maximus ketika ditanya selepas majlis itu berkata, kehadiran pemimpin PBS di majlis itu adalah atas jemputan Mojigoh.

“Kehadiran kami hanyalah untuk meraikan Tahun Baru Cina bersama-sama beliau lagi pun beliau (Mojigoh) adalah rakan ketika beliau menjadi ahli Parlimen dan kami sama-sama menghadiri sidang Parlimen,” katanya.

Maximus bagaimanapun berkata, pintu PBS sentiasa terbuka kepada sesiapa yang percaya kepada perjuangan parti termasuk Mojigoh.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Mojigoh yang menjadi calon UPKO atas tiket Barisan Nasional (BN) ketika itu, gagal mempertahankan kerusi parlimen Putatan.

Beliau tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Awang Husaini Sahari, dengan majoriti sebanyak 2,339 undi.

Awang Husaini ketika itu memperolehi sebanyak 14,106 undi manakala Mojigoh sebanyak 11,767 undi.