KAKI TERSANGKUT DI BESI LONGKANG

Oleh Wartawan BS
5 Februari 2020

KENINGAU: Seorang pelajar perempuan tingkatan satu terpaksa menahan sakit hampir 15 minit selepas kaki kanannya tersepit pada jeriji besi longkang di sekolahnya, di Sook, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.54 petang dan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi mendapati kaki kanan mangsa tersangkut pada jeriji besi longkang di sekolah berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas ‘hidraulik spreader’ dan ‘power unit’ untuk mengeluarkan kaki mangsa.

“Beberapa minit kemudian kaki mangsa berjaya dikeluarkan seterusnya diberi rawatan awal,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera dibahagian kaki kanannya kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Sook menggunakan EMRS untuk rawatan lanjut.

“Operasi menyelamat tamat jam 3.10 petang,” katanya.