Oleh Wartawan BS
7 Februari 2020
KOTA KINABALU: Polis memandang serius kejadian sekumpulan pelajar membelasah seorang pelajar lelaki termasuk memukul mangsa menggunakan kayu dalam satu video yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya kini sedang menyiasat kesahihan video berkenaan dan akan memanggil beberapa saksi sekiranya benar perkara itu berlaku.
Beliau berkata, pihaknya belum menerima laporan polis mengenai pergaduhan membabitkan kumpulan pelajar itu dan masih menunggu pihak sekolah yang terbabit dalam kejadian itu untuk berhubung dengan polis.
“Kita tidak menerima laporan lagi dan menunggu pihak sekolah untuk berhubung dengan polis bagi memastikan kejadian itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.
“Saya sendiri melihat video pergaduhan itu di media sosial yang mana terdapat sekumpulan pelajar bergaduh sesama sendiri.
“Polis amat mengambil berat kes ini dan siasatan akan dijalankan terhadap pelajar yang terbabit dalam video itu jika benar berlaku di daerah ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Watika Perlantikan Pengawas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, di sini, hari ini.
Sejak semalam, tular video memaparkan seorang pelajar dibelasah sekumpulan pelajar lain di sebuah sekolah di daerah ini dan ada antara mereka menggunakan kayu.
Video berdurasi 49 saat itu turut memaparkan beberapa pelajar yang melihat pergaduhan itu kemudian campur tangan hingga menyebabkan pergaduhan sesama sendiri.
Sementara itu, mengenai program berkenaan, Habibi berkata diharapkan kolaborasi antara polis dan Jabatan Pendidikan khasnya SK Sri Gaya akan berpanjangan seperti mana slogan PDRM ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada’.
“InsyaAllah, selepas ini bukan sahaja kolaborasi seperti ini tetapi akan berlanjutan bermacam-macam program yang kita buat untuk memastikan tahap disiplin dikalangan pelajar bukan sahaja sekolah menengah tetapi sekolah rendah juga terkawal.
“Selepas ini, insyaAllah saya dengan guru besar pihak sekolah akan membuat beberapa siri program untuk memastikan kita dalam keadaan selamat dan sejahtera terutama murid-murid sekolah di daerah ini daripada jenayah termasuk buli,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK