Oleh Wartawan BS
7 Februari 2020
KOTA KINABALU: Masalah peribadi adalah motif disebalik kejadian lelaki melepaskan tembakan hingga tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak cedera di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, berdasarkan siasatan sebelum kejadian tembakan itu, suspek dikenali sebagai Kacang@ Munding, 30-an, mengeluarkan perkataan ugutan kepada mangsa berusia 36 tahun.

“Motif masih siasat namun kemungkinan besar di antara mangsa dengan suspek lebih bermotifkan peribadi disebabkan sebelum kejadian tembakan itu, suspek mengugut mangsa dengan perkataan ‘jika kau berani, keluar’ sebelum suspek melepaskan tembakan.
“Ketika itu, suspek berada di perahu manakala mangsa berada di atas jambatan di Kampung Lok Urai dan berlaku tembakan terus menuju ke arah mangsa dalam jarak 10 ke 15 meter,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Watika Perlantikan Pengawas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan suspek, Habibi berkata, suspek sudah dikenal pasti sebagai Kacang@ Munding, dan masih berada di sekitar Pulau Gaya.
“Suspek masih di situ (sekitar Pulau Gaya) tidak keluar lagi dan kita sedang memburu suspek terbabit.
“Operasi bersepadu sedang dilakukan dengan kerjasama semua elemen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM).
“Sejak kejadian itu lagi kita telah menjalankan operasi bersepadu… InsyaAllah dengan kerjasama semua elemen ini, polis akan dapat memberkas suspek dalam tempoh terdekat,” katanya.
Sementara itu, Habibi meminta masyarakat yang mengenai atau melihat suspek supaya memberi kerjasama dengan memaklumkan kepada bilik gerakan IPD Kota Kinabalu.
“Dengan bantuan masyatakat dan risikan polis, kita akan dapat memberkas suspek dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam kejadian jam 7 kelmarin, suspek menembak tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak di atas jambatan Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.
Dua mangsa berusia 36 dan 10 tahun parah manakala seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun cedera ringan.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK