Oleh Wartawan BS
11 Februari 2020
PENAMPANG: Taktik sekumpulan pencuri yang menjual telefon bimbit dicuri mereka dalam laman web akhirnya terbongkar selepas dicekup polis, semalam.
Tiga suspek lelaki berusia lingkungan 19 hingga 34 tahun itu dicekup dalam serbuan berasingan di daerah Jalan Bundusan, Penampang dan Jalan Tuaran Bypass, Tuaran.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek difahamkan memecah masuk sebuah premis di pusat beli belah Megalong, Penampang dan mencuri beberapa telefon bimbit.
“Dalam kejadian yang berlaku 15 Januari lalu itu, pengadu mendakwa premisnya dimasuki pencuri dan mendapati kabinet tempat penyimpanan telefon bimbit yang dijualnya turut hilang.
“Pemeriksaan lanjut dapati laci mesin wang telah terbuka dan wang tunai sebanyak RM200 telah hilang,” katanya.
Jelasnya lagi, susulan dengan insiden berkenaan, pada pihaknya berjaya memberkas seorang pembeli lelaki yang disyaki membeli telefon curi menerusi laman web mudah.com.
“Dengan kejayaan menahan lelaki terbabit, ia berjaya membongkar taktik kumpulan jenayah suspek.
“Kita berjaya menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terbabit secara langsung dengan kes itu menerusi dua tangkapan berasingan di Jalan Bundusan dan Jalan Tuaran Bypass, semalam,” katanya.
Menurut Haris, hasil tangkapan tiga suspek itu, polis turut menemukan semula empat telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah pengecas mudah alih (power bank) yang dipercayai hasil curi berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK