TIKAM BEKAS ISTERI SAMPAI MATI

Oleh Wartawan BS
11 Februari 2020

KOTA KINABALU: Gara-gara gagal untuk rujuk semula, seorang lelaki ‘naik hantu’ apabila menikam bekas isterinya hingga mati di bilik sewanya di tingkat dua, Segama, petang tadi.

Mangsa Rina Amat, 37, yang parah di bahagian dada dan pergelangan akibat ditikam menggunakan pisau dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian itu, jam 2.20 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan polis yang menjalankan siasatan berjaya memberkas suspek berhampiran lokasi kejadian manakala bekas isterinya yang parah dikejarkan ke HQE I untuk rawatan dan disahkan telah meninggal dunia jam 3.27 petang.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menemui mangsa untuk merujuk kembali hubungan mereka.

“Mangsa enggan dan berlaku pergaduhan sebelum suspek bertindak menikam bekas isterinya di bahagian dada dan pergelangan tangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, suspek berusia 37 tahun kemudian dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk disiasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *