NAFI TIADA UJIAN SARINGAN COVID-19

PENAMPANG: Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah menafikan kononnya tidak ada ujian saringan coronavirus (Covid-19) yang dilihat oleh orang awam dilakukan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Sebenarnya hanya penumpang domestik dalam negeri sahaja (seperti Kota Kinabalu- Sandakan atau Kota Kinabalu-Tawau) yang tidak perlu menjalani pemeriksaan.

“Tetapi ada juga pengurusan lapangan terbang domestik yang mengambil inisiatif sendiri menjalankan ujian saringan Covid-19 seperti di Lapangan Terbang Sandakan,” kata menterinya, Frankie Poon Ming Fung.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan sambutan Bulan Anti Dadah Kebangsaan (BADK) Peringkar Daerah Penampang 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Limbanak, di sini, hari ini.

Sementara itu, Frankie berkata ujian saringan Covid-19 sudah diperluaskan membabitkan semua penumpang penerbangan domenstik dari semenanjung ke Sabah yang melalui KKIA.

Katanya, sebelum ini, ujian atau pemeriksaan kesihatan di KKIA membabitkan penumpang-penumpang penerbangan antarabangsaan dari China dan Taiwan.

“Ramai juga yang bising kerana penumpang dari Johor dan Kuala Lumpur tidak dikenakan ujian saringan tetapi sekarang tidak lagi kerana semua mereka kena saring.

“Penumpang-penumpang domestik dari luar Sabah khususnya Semenanjung seperti Kuala Lumpur dan Johor turut menjalani pemeriksaan di pos Jabatan Imigresen KKIA,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai perkembangan kes seorang suspek di Labuan pula, beliau berkata pihaknya masih menunggu hasil keputusan makmal berhubung ujian yang dijalankan.

“Setakat ini belum ada jawapan dan kita masih menunggu, mungkin esok pagi dan saya akan beritahu media jika ada kes,” katanya.