PENDATANG ASING JADI TALI BARUT

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mendedahkan menerima maklumat mengenai dakwaan senjata api diseludup masuk ke pantai timur Sabah.

Bagaimanapun, Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata tiada sebarang tangkapan berkaitan senjata api dibuat sejak beliau mengambil alih tugas itu.

Katanya, pihaknya juga mendapat maklumat pendatang asing yang menjadi tali barut kepada sindiket tertentu untuk melakukan jenayah di timur Sabah dan sudah mengenal pasti kumpulan itu.

“Memang kita ada maklumat mengatakan ada pendatang asing yang menjadi tali barut kepada sindiket tertentu yang melakukan jenayah di pantai timur.

“Kita tengah buat pemantauan dan telah kenal pasti pun, jadi tunggu tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Pertemuan dan Dialog ESSCOM bersama Komuniti Nelayan di Pulau Jampiras, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hazani berkata, pihaknya juga khuatir kerana Sabah dijadikan sebagai transit untuk ‘foreign fighter’ yang bergerak antara Filipina, Indonesia dan Malaysia dan bekerjasama dengan dua negara jiran itu menerusi perkongsian maklumat risikan.

Mengenai lawatan ke pulau itu, Hazani berkata, ia bagi menepis tanggapan pihak yang mengatakan ia adalah kawasan hitam dengan sebelum ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan juga pernah melakukan program kepolisan komuniti di pulau berkenaan.

“Orang kata hitam kita nak masuk untuk bersama masyarakat menunjukkan yang masyarakat Jampiras adalah penyokong pasukan keselamatan, bersama-sama mahu mempertahankan keselamatan yang kita nikmati hari ini,” katanya.